Assalamualaikum warohmatullah wabarokatuh<3.
Saya akan berkongsi satu kisah pendek tapi benar yang boleh diambil teladan.
Saya akan berkongsi satu kisah pendek tapi benar yang boleh diambil teladan.
Pada zaman dahulu, (bukan dahulu kala sangat pon) persekolahan berjalan seperti biasa. Beratapkan rumbia berlantai tanah, murid-murid berseluar pendek itu tekun belajar. Tetapi hari itu lain sedikit kerana ada lawatan dan pemeriksaan hospital terhadap anak-anak muda itu.
Manusia berseragam dipanggil jururawat memanggil murid-murid membuat pemeriksaan mata. Maka beraturlah anak-anak itu dengan sopan dan tertib menunggu giliran. Barangkali mereka juga berdebar memikirkan saat masing-masing. Selepas satu, kemudian satu lagi pemeriksaan yang dibuat.
Kemudian, setiap orang ditunjukkan satu bahan, disuruh membaca nombor yang tertera. Maka tibalah waktu seorang budak ini, disuruh oleh misi itu membaca nombor yang ada. Malangnya, tidak satu pun yang dapat dibaca. Ya, mungkin ada, tetapi agak susah. Apa yang dilihatnya, bentuk bulat-bulat kecil pelbagai saiz dan bermacam warna tersusun menjadi satu bulatan. Teragak-agak dia cuba memastikan apa yang sedang dilakukannya, malah dia juga berasa bingung kerana disuruh berkali-kali membaca oleh misi di tepinya, tetapi dia tidak boleh, susah baginya. Dia hairan.
" Nok jadi gapo la budok ni seksok...!" Akhirnya Cik Misi bersuara lantang dan sinis, mungkin sudah tidak sabar lagi. Budak itu gagal dalam pemeriksaan mata. Tidak boleh membezakan hijau dan merah. Tiada siapa tahu begitu sedih hatinya mendengar apa yang dikatakan. Dia kecewa, mungkin juga marah.
Aduhai Cik Misi, tidak elok berkata begitu. Seolah-olah tiada masa depan bagi anak itu. Sekurang-kurangnya bagilah semangat, siapa jua mahu dijadikan buta warna?! Tentunya tidak ada sesiapa bukan? Bayangkan kalau anak sendiri berkekurangan seumpamanya, tentu kita mengharapkan yang terbaik untuk anak itu seumur hidupnya.
Syukur Alhamdulillah, budak itu sekarang sudah berkeluarga, dan yang penting beliau sudah dua puluh tahun berkhidmat kepada masyarakat sebagai seorang doktor (General Practitioner). Beliau sering bercerita kepada anak-anaknya supaya mereka dapat berfikir dan menjadikannya sebagai pedoman. Bagi saya, beliau telah berjaya merubah kekurangan menjadi kekuatan, kekecewaan menjadi kesungguhan, sedih menjadi motivasi dan amarah menjadi pembakar semangat!
Bersukurlah kita semua, Alhamdulillah atas segala nikmat Allah.
#huhu..dok tunggu puding sejuk nak masukkan dalam peti sblm tido, tiba2 tringat kisah ini ;D
No comments:
Post a Comment