Tuesday, 31 January 2012

Jatuh cinta itu umpama benih kacang!

Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh...
Sudah menjadi fitrah lelaki akan tertarik dengan wanita dan begitulah juga sebaliknya... Namun, setiap daripada kita mestilah pandai mengelolakan anugerah Allah itu supaya menjadi sesuatu yang indah di dunia dan di akhirat..

Pernah jatuh hati pada seseorang? Pernah rasa oh hensemnya/ comelnya dia!? Pernah rasa macam nak jadi teman hidup dia? Aku nak dia jadi milik aku? Sehingga tidak semena-mena hati menjadi gundah-gulana, resah, gelisah, tidak dapat focus pada apa-apa, maka berkelip lambatlah matanya, dan terikutlah apa yang selalu orang cakap tu, makan tak lalu tidur tak lena, mandi tak basah,, asyik keluar wajah dia aje! Senyum dia, mata dia, suara dia, bahkan selipar dia! Maka dengan mudahnya anak-anak muda itu mentafsirnya sebagai cinta hidupnya, lalu membawa kepada couple sebelum nikah. Lebih parah hingga sanggup mempertaruhkan apa sahaja demi cintanya, dia bangga melaungkan itu cinta matinya. Ketika itu lazimnya keluarga dibelakangkan, nasihat teman dilontar balik dengan hamburan maki hamun. Namun demikian, ada juga yang tidak begitu. Mereka mendakwa mereka couple untuk mengenali isi hati dan mereka bercouple sambil menjaga batas-batas pergaulan. Namun, niat takkan pernah menghalalkan cara, bukan? Sudah terang lagi bersuluh couple itu haram atau kamu yang berada dalam kegelapan di bawah cahaya terang-benderang? Nauzubillah... Berkahwinlah! Tidak bersedia? Maka hentikanlah!

Sepatutnya tak ada perkataan couple dalam kamus anak-anak muda yang belum benikah, perkataan cinta juga sepatutnya dihapuskan, kerana asalnya perasaan itu berputik daripada sebuah kekaguman.  Waktu mereka, anak-anak muda hanya untuk belajar demi mengangkat martabat agama, bangsa dan negara kita yang dikenali sebagai negara penduduk Islam. Ayuh, sahabat, tinggalkan dia dahulu, kemudian ketika kamu bersedia betul-betul barulah masuk meminang dan terus berkahwin. Saya tahu tidak mudah, tapi tidak mudah juga untuk kamu menerima hakikat bahawa kamu telah bergelumang dosa suatu hari nanti!

Tajuk post, jatuh cinta itu umpama benih kacang. Ya, benih kacang yang masih subur, akan bercambah apabila diletakkan atas tanah yang subur juga. Dan tanah itulah umpamanya hati. Tapi tanah hati kita tanah kering. Pada saat kamu ter-jatuh hati pada seseorang, atau ada orang menaruh hati dan memohon dijadikan kekasihnya, itu adalah ibarat sebiji benih telah dilontarkan ke dalam hatimu.Ya, ke atas tanah kering itu. Jika ada seorang lain lagi mencuri hatimu, maka sebiji benih lagi dilontarkan. Begitulah seterusnya, bayangkanlah banyak mana benih disepahkan di tanah milikmu? Jika tidak rela hati bersepah, tunduklah. Jangan sewengang-wenangnya pandang orang, buatnya terpandang yang cute-mute tu, kan luruh hati tu, tak pasal-pasal dapat kacang, lalu setiap kali benih mendarat, maka hati mula bergoncang...

Benih itu memberontak mahu disiram, supaya ia boleh bercambah. Disiram? Kamu kemaruk tentangnya, kamu mula berkhayal tentangnya, kamu mula melayan perasaanmu yang bercelaru-inikah cinta?inikah cinta?, dia sedang buat apa?, dia mencintaiku?, terlebih mendengar lagu cinta yang melalaikan, memuja puisi-puisi cinta, itu semua adalah seolah-olah kamu sedang menyiram benih itu. Sedikit kamu siram, tumbuhlah akarnya, sedikit lagi kamu melayan keinginan hati untuk berjumpa dengannya, maka tumbuhlah pula pucuknya. Lebih banyak kamu siram, lebih panjang akarnya hingga menjadi akar tunjang menjalar teguh di dasar tanah dan lebih banyak lagi kamu siram, maka lebih tinggi pucuknya memanjat hatimu. Perasaan yang kononnya cinta itu bertambah kukuh terpahat dan terpaku pada hatimu. Lama-kelamaan ia menjadi sepohon pokok. Pokok besar, pokok kecil, itu bergantung tahap kamu melayannya.

Cuba fikir, yang mana lebih senang, biarkan benih itu tersadai sahaja di tanah gersang? atau  memangkas pokok yang menjalar? Dan yang mana lebih senang, memangkas pokok menjalar atau menebang pokok yang keras batangnya, liat akarnya.?? Oleh itu, jangan biarkan benih itu daripada terus bercambah dan membesar. Ingatlah, kalau kamu malas menyiram pokok di rumah kamu, pasti ia layu dan kemudian mati. Begitulah juga benih kacang di hati mu, kalau belum tiba masanya, bermalaslah untuk menyiramnya, dalam hal ini malas harus diutamakan.

Terfikirkah jika dahulu kamu bercinta bagai nak rak, berdua selalu bagai belangkas tidak lupa syaitan dikendong bersama-sama, kemudian kamu berpisah berputus hubungan, bahkan ada yang senang-senang menyebut kami sudah bercerai... bagaimana terjadi pada pokok di hatimu? Tentulah ia tetap di situ, menggugurkan daunnya dan hingga tinggal ranting yang tajam, dan akan mencucuk bahagian hatimu, maka itu kamu terasa sakit. Kemudian kamu menebangnya tetapi masih meninggalkan akar dan memerlukan masa yang lama untuk mencungkilnya, tetapi tetap sahaja tinggal bekas. Bahkan pasti ada yang terus simpan saja pokok-pokok matinya (kerana terlalu banyak kekasih hatinya) menjadi hutan tebal. Lalu di mana ruang buat pohon cinta suamimu/isterimu nanti??

Ada juga yang meneruskan cintanya sebelum nikah, bertahun-tahun dan hampir ditenggelami lautan dosa. Mereka ada yang memberi alasan bahawa orang tuanya juga bercinta sejak di bangku dan malah menikah kemudiannya..Jadi biarkan sahaja kami menyemai dan membesarkan pokok dalam hati kami! Aduh, kenapa si ayah menceritakan kisahnya kepada si anak, kalau belum pasti nasibnya serupa atau sebaliknya? Dan sudah pasti orang di sekeliling telah berbakul-bakul menasihati kamu, tetapi masih sahaja diteruskan, ini sudah tidak salah lagi ianya nafsu semata-mata. Dan jikalau nanti hatimu menjadi tandus tiada suburnya lagi, tiada orang yang bersalah melainkan kamu sendiri. Bertaubatlah...

Ingatlah juga, kamu boleh mengawal percambahan benih yang dilontarkan di hatimu dengan hanya tidak menyiramnya. Bukan tidak boleh langsung, tetapi belum masanya. Benih juga perlukan waktu yang sesuai untuk menjadi pohon yang bagus. Jika suatu hari nanti, kamu sudah bersedia untuk menjadi yakni bukan sahaja setakat isteri dan suami malah seorang ibu mithali dan bapa yang boleh dijadikan contoh terhadap anak-anak, waktu itulah, benih kacang yang dilontarkan ke atas tanah hatimu iaitu selepas akad harus disemai baik-baik, disiram setiap hari dan dibaja supaya menjadi sepohon pokok yang rendang, lebat daunnya, berbunga indah dan berbuah yang manis-manis serta menjana tumbuhnya rumput menghijau, dan memangil burung-burung dan rama-rama, membina taman yang indah..

Semua orang boleh melakukannya, menyiram benih pada waktunya sahaja.. Saya boleh lihat pada mak saudara saya, saya tengok masa zaman dulu-dulu waktu sekolah, tak ada pun bercouple, bukan tiada yang mahu kerana dia tu dalam kategori cantik. Masa dah dewasa pun seolah-olah  takkan dia memberi hatinya kepada sesiapapun. Tapi, selepas berkahwin dengan jejaka pilihan keluarga, saya baru tahu ada cinta di hatinya, dia boleh bercinta dan merindui suaminya tiap detik! Saya yakin dia telah menyuburkan tanahnya yang kering itu untuk membesarkan pokok cintanya kerana bibitnya dilontarkan oleh yang halal baginya..

Apabila membayangkan perasaan-perasaan yang muncul itu bagaikan benih-benih kacang sahaja  yang tercampak di hati, mudah rasanya untuk kita tidak mempedulikannya bahkan mahu menyiramnya sekalipun. Kepada saudara yang masih belum berpacaran sejak lahirnya, teruskanlah begitu. Kuatkan hatimu melawan nafsu durjana yang bakal membawa bencana. Kepada yang sedang dilamun cinta, menaruh hati pada siapa-siapa, tenanglah, jangan siram ia, belum masanya. Dan kepada yang sudah berkasih, ataupun yang sudah berapa kali bertukar pasangan bercinta, tiada siapa pun boleh mencari cinta sejati dengan cara  sebegitu. Belum terlambat untuk berubah kerana tiada cinta sejati selain kepada suami atas agamanya.


Wallahu'alam... Ini hanya fikrah saya saja, untuk terus mengingatkan diri sendiri serta untuk dikongsi dengan pembaca kerana mungkin dapat memberi manfaat kepada semua. Allah memberi kita akal supaya mencari jalan untuk mengatasi masalah dengan baik, jadi gunakanlah akal sebaik-baiknya. Semoga kita saling dapat mengingatkan <3



No comments:

Post a Comment